Dipetik dari akhbar Berita Harian, Anzalna sebaliknya mahu menyerahkan permasalahan antaranya dan Neelofa kepada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk diselesaikan.
Menurutnya, dia bertindak enggan membalas notis tersebut selepas mendapat nasihat daripada SENIMAN yang mahu kedua-dua mereka bersemuka dan menyelesaikan masalah di luar mahkamah.
"Jika Neelofa berkeras mahu membawa kes ini ke mahkamah, silakan. Saya sudah bersiap sedia dengan bukti dan di atas nasihat SENIMAN, saya tidak akan membalas notis," ujar Anzalna.
Jelasnya lagi, walaupun dia sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes ini, namun dia masih menyerahkannya kepada SENIMAN untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapinya itu.
Aktres berusia 24 tahun ini kini sedang menunggu tarikh pertemuan atau mesyuarat tertutup antara dirinya, Neelofa dan Tasha Shilla yang akan dirancang oleh SENIMAN.
Sementara itu, Zed Zaidi selaku Presiden SENIMAN berkata, pihaknya masih belum lagi menetapkan tarikh bagi membincangkan isu tersebut.
"Saya belum bertemu Neelofa dan masih menunggu laporan Biro Aduan, Pemantauan dan Perundingan SENIMAN. Apabila laporan itu sudah keluar dan tarikh dipilih, kami akan bersemuka untuk berbincang dengan mereka," katanya.
Pada 13 Jun lalu, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Nor telah memberi tempoh tujuh hari kepada Anzalna untuk tampil mengemukakan bukti dan penjelasan terhadap tuduhannya dalam artikel "Anzalna bidas Neelofa" yang disiarkan dalam sisipan BiPop bertarikh 10 Jun 2012.









0 comments